Protected: Catatan Syawal 1430H

This content is password protected. To view it please enter your password below:

SALAM EID MUBARAK

DARIPADA

NOR NAIMAH ROSYADAH AHMAD

Mohon maaf atas segala salah dan silap kepada sesiapa yang mengenali diri ini.Semoga Ramadhan yang berlalu berjaya mentarbiyah kita menjadi insan yang lebih baik dari hari semalam.Dan Syawal ini menjadi momentum untuk kita terus ke depan, istiqamah dalam hasil pentarbiyahan Ramadhan.

Sekian,

Jemput datang raya bagi yang sudi datang:)

GUNUNG KEHIDUPAN

scenery02

Aku melihat kelibat bayangan gunung nan tinggi tu.

Di hadapan ku, tersergam gunung tinggi itu, dan beserta pada gunung tinggi itu kelihatan bayangan denai dan satu laluan.

Laluan yang ku lihat itu sudah hampir sebahagian perjalanan menuju ke puncak gunung.

Lantas hadir satu suara berbisik, “ Itulah kehidupanmu, yang engkau kini sudah separuh perjalanannya.

Aku seolah-olah bertanya pula ,” Gunung itu terlalu tinggi, mampukah orang yang melaluinya meneruskan perjalanan ke puncaknya?”

Suara itu membalas,” Engkau yang menentukannya..Dan terletak kepada pilihanmu untuk terus meneruskan perjalannya atau tidak.Jika engkau tidak meneruskannya, engkau akan selama-lamanya berada di atas gunung itu tanpa ke mana-mana, atau engkau kelak akan jatuh bersama-sama runtuhan gunung tersebut.Namun jika engkau meneruskan perjalananmu ke puncaknya, engkau akan selamat.”

************************************************************************

Dan tiba-tiba saat itu jasadku sudah benar-benar berada di atas gunung yang tadinya aku melihatnya dari jauh.

Tempatku berpijak itu kelihatan gersang dan retak di sana sini dan di situ juga terdapat seolah-olah bayangan bangunan yang hampir runtuh dindingnya.Dan tiba-tiba muncul satu gegaran yang seolah-olahnya menandakan gunung itu akan runtuh.Aku terpaku.Tidak tahu harus berbuat apa. Menyelamatkan diri? Tetapi tidak tahu harus ke mana, di situ hanyalah diriku seorang diri dalam gegaran gunung yang dahsyat.

Dan saat itu muncullah seolah satu suara dan kekuatan dari sudut jiwaku.

Ianya berbisik, “ Cepat teruskan berusaha, engkau yang menentukan sama ada engkau akan membiarkan dirimu tenggelam dalam runtuhan ini atau engkau akan selamat darinya.

Saat itu aku seolahnya mengetahui bahawa di situ terdapat satu gerbang yang jika aku melaluinya aku akan selamat dr dunia runtuhan gunung ini.Tetapi bukankah hampir sudah terlambat? Pintu itu hampir tertutup sudah.

Namun entah apa kekuatan dan suara yang mendorong diriku saat itu untuk lari sekuat hati menuju ke gerbangan itu walaupun pintunya hampir tertutup sudah hingga mustahil ruang bukaannya untuk seorang manusia melepasinya.
Aku berlari sekuat hati menujunya dan kini hampir terus pada gerbangan itu yang . semakin kecil bukaan pintunya.Mustahil!Mustahil aku boleh melepasinya.Namun aku tetap berlari,seolah-olahnya mahu saja aku merempuh pintu yang sudah hampir tertutup itu.

Namun entah apa keajaiban yang berlaku, dari celahan pintu yang hampir tertutup itu muncullah satu sinar cahaya yang menarik jasadku ke arahnya, lantas membawaku dan menyelamatkan aku dari dunia runtuhan itu.

Dan muncullah satu suara yang berbisik ,’’ Sesungguhnya atas rahmat Tuhanmu yang menyelamatkanmu yang melihat kesungguhan hambaNya yang berusaha dan bersungguh-sungguh.”

<

DALAM HARAPAN

Meronta-ronta satu suara,

Memberontak satu jiwa

Mahu dilepas apa dirasa

Di manakah mereka ?

scenery07

Dalam detik-detik waktu

Dalam nafas yang berlalu

Aku ternanti-nanti,

Hadirnya mereka.

Golongan pembela maruahnya agama.

Mereka itu,

Ibaratnya pasukan pejuang

di tengah panasnya medan jihad,

Gagah melangkah,

Diiring segenap kekuatan jasad dan fikirannya,

Bisa gah berdiri,

Cerdik mengatur,

Ikhlas memimpin.

Mereka itu,

Bukannya lemah tersungkur,

Bukan egois merugi,

Bukan membuta tuli,

Bukan sombong meninggi.

Namun,

Mereka itu dalam harapan,

Muncullah pejuang,

Bangkit menyelamat umat.

Hanya bisa kutitipkan,

Dalam setiap bisikan doa

Dalam setiap sujudku,

Dalam detik-detik terakhir,

Dalam malam-malam mulia,

RAMADHAN kareem ini.

Kurniakanlah di bumi ini Tuhan,

Golongan hamba MU itu di hadapan,

Di hadapan gegarisan ini,

SATU SAF PERJUANGAN.

Monolog dinihari

* 20 Ramadhan 1430 H*

IBU PARA PAHLAWAN

Sabda Nabi Sallallahu alaihi wa Sallam: ” Wahai Ummu Saad, terimalah khabar gembira dan sampaikanlah khabar gembira kepada keluarga mereka, bahawa orang-orang yang terbunuh di antara mereka saling berteman di dalam syurga, semuanya dan mereka diberi syafaat untuk keluarganya”

0033a

Ibu Para Pahlawan

Inilah dia, Kabsyah bintu Rafi’ bin Muawiyah bin Ubaid bin Al-Abjar Al-Ansyariyah Al-Khudriyah. (Thabaqat Ibn Saad, 8/37; Al-Isti’ab, 4/383; Usdul Ghabah [7230]; Al-Istibshar,hal. 129)
Beliaulah ibu yang Arasy Ar-Rahman pun bergoncang kerana kematian anak-anaknya. Beliaulah ibu yang memutuskan perkara dengan hukum Allah dari atas langit ketujuh. Anak beliau ialah penjaga Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam ketika Perang Badar, yang juga pemegang panji dari golongan Ansar, serta salah seorang ahli majlis syura Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam ketika itu. Anak beliau adalah As-siddiq kedua setelah Abu Bakar Radiallahu Anhu. Anak beliau jugalah wakil Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam di saat Perang Buwath. Kelebihan ini turut diakui oleh Ibn Saad dengan berkata: “ Orang yang pertama berbaiat kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam ialah Ummu Saad, Kabsyah bintu Rafi’ bin Ubaid, Ummu Amir bintu Yazid bin As-Sakan serta Hawa’ bintu Yazid bin As-Sakan.”

Peniup Semangat Jihad Anak-anaknya

Di dalam Perang Badar, beliau meniupkan semangat kepada kedua anak beliau, Saad bin Muadz dan Amru bin Muadz Radiallahu Anhuma, agar berangkat dan berjihad kerana Allah dengan sebenar-benar jihad. Di dalam Perang Uhud, Ummu Saad turut terlibat secara langsung bersama beberapa wanita Muslimah lainnya. Berita kekalahan tentera kaum Muslimin dan gugur syahidnya anak beliau, Amru bin Muadz sampai ke pengetahuan beliau. Namun, berita-berita tersebut ternyata kurang penting bagi ibu ini berbanding keselamatan baginda nabi. Beliau lantas bersegera ke medan peperangan dan melihat dengan mata kepala sendiri keadaan dan keselamatan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam. Saat itu juga, beliau memanjatkan puji dan syukur kepada Allah seraya berkata: ”Selagi aku melihat engkau dalam keadaan yang selamat, maka musibah ini (kematian Amru bin Muadz) adalah terasa sangat ringan” .

Di saat Perang Khandaq meletus, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam mengarahkan para wanita muslimat dan kanak-kanak yang turut serta untuk berlindung di dalam benteng Bani Haritsah yang telah siap dibina. Turut sama di kalangan mereka ialah Aisyah Ummul Mukminin Radiallahu Anha dan Ummu Saad. Aisyah menuturkan bahawa Saad bin Muadz berlalu untuk menyertai pasukan perang dengan mengenakan baju besi yang pendek, sehingga seluruh tangannya terdedah. Ummu Saad menasihatkan anaknya agar bersegera supaya tidak ketinggalan walau sesaat pun tanpa bersama-sama Rasulullah. Beliaulah yang tidak henti-henti menasihati dan meniupkan semangat jihad di dalam dada anak-anaknya. Beliau berkata: ”Wahai anakku, cepatlah berangkat kerana demi Allah, engkau sudah terlambat!”

Di dalam peperangan tersebut, Saad terkena anak panah lemparan Hibban Al-Urqah yang memutuskan urat di dekat mata kakinya. Saat itu, Saad sempat berdoa kepada Allah dengan doanya yang sangat masyur, ” Ya Allah, jika Engkau masih menyisakan peperangan melawan Quraisy, maka berikanlah aku sisa umur untuk aku menyertainya. Tidak ada kaum yang lebih aku sukai untuk memeranginya kerana Engkau, selain dari kaum yang telah menyakiti Nabi-Mu, mendustakannya dan mengusirnya. Ya Allah, jika Engkau menjadikan peperangan antara kami dengan mereka, maka jadikanlah mati syahid bagiku dan janganlah Engkau uji aku sehingga aku merasakan senang kerana dapat mengalahkan bani Quraizhah” Tenyata Allah mengabulkan doa Saad bin Muadz. Yahudi Bani Quraizhah melanggar perjanjian yang telah dimeterai bersama Baginda Nabi. Keputusan tentang Bani Quraizhah diserahkan kepada Saad bin Muadz. Beliaulah yang memutuskan agar kaum lelaki Bani Quraizhah dibunuh, manakala kaum wanita dan kanak-kanaknya dijadikan tawanan. Sebaik saja urusan Bani Quraizhah diselesaikan, luka di kaki Saad semakin parah dan akhirnya beliau meninggal dunia. Sekali lagi, Ummu Saad diuji dengan kehilangan anak beliau. Jasad Saad diusung dan dikebumikan di Baqi’. Kesedihan Ummu Saad terpancar jelas di wajahnya. Lalu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam menghibur beliau dengan bersabda, ” Adakah air matamu tidak dapat dibendung dan apakah kesedihanmu tidak dapat dihilangkan? Sesungguhnya anakmu adalah orang pertama, Allah tersenyum kepadanya dan Arasy bergoncang kerana kematiannya“ (Siar Alamin-Nubala’, 1/293: Thabaqat Ibn Saad, 3/434; Majma’ Az-Zawa’id, 9/309)

Hatinya lantas gembira dengan perkhabaran Baginda. Beliau hanya mengharapkan pahala kebaikan di sisi Allah dan RasulNya di atas kematian kedua-dua anaknya sebagai syuhada’, apatahlagi setelah mengetahui ketinggian martabat seorang syahid. Beliau mendahulukan kecintaan kepada Allah dan RasulNya di atas segala sesuatu yang di mata manusia lainnya sangat berharga, termasuklah harta dan anak-anak. Di atas sifatnya inilah, maka beliau layak mendapatkan khabar gembira daripada Allah dan RasulNya sebagai penghuni syurga.

Baginya Jaminan Syurga

Ummu Saad menerima khabar gembira sebagai penghuni syurga secara langsung dari Rasulullah sewaktu berakhirnya Perang Uhud.
(Al-Maghazy, 2/315-316; As-sirah Al-Halabiyah, 2/545-546).
Saat Baginda Nabi mengetahui gugurnya Amru bin Muadz selain sebelas orang lagi syuhada’ medan uhud, Baginda lantas bersabda, ” Wahai Ummu Saad, terimalah khabar gembira dan sampaikanlah khabar gembira kepada keluarga mereka, bahawa orang-orang yang terbunuh di antara mereka saling berteman di dalam syurga, semuanya dan mereka diberi syafaat untuk keluarganya”.
Baginda turut mendoakan Ummu Saad dengan doa yang istimewa, ” Ya Allah, singkirkan kesedihan hati mereka, ringankanlah musibah mereka dan berilah pengganti yang baik bagi orang-orang yang mereka tinggalkan”.
Dari Anas bin Malik Radiallahu Anha, beliau berkata bahawa Rasulullah pernah bersabda, ”Barangsiapa yang sabar dan ikhlas mencari pahala kerana kematian tiga anaknya, maka dia akan masuk syurga” Ada seorang wanita yang berdiri seraya berkata, ” Bagaimana dengan dua orang anak?” Baginda kemudiannya menjawab, ”Begitu pula dua orang anak” [HR Al-Bukhari, Muslim, At-Tirmidzi, An-Nasaei dan Ahmad].

Semoga keikhlasan dan kesabaran beliau dalam mendidik anak-anaknya sehingga menjadi pendamping utama Rasulullah di medan dakwah dan jihad menjadi teladan yang layak untuk dicontohi oleh ibu kaum muslimin hari ini. Wallahu’alam.