Mereka yang disayangi Allah


Semalam 16 Jun 2012, sekitar jam 10 pagi saya menerima satu kiriman mesej bergambar yang dihantar oleh abang saya. Imejnya menggambarkan suasana sekitar majlis pengebumian seseorang. Saya yang kehairanan lantas bertanya siapakah orang yang telah meninggal. Namun tidak dibalas abang saya sehinggalah sekitar jam 1.15 petang, mesejnya kembali berbalas dan berbunyi

” Bekas AJK Dewan Ulama’ , Ustaz Yahya Othman.”

Innalillah, saya benar-benar terkejut ! Langsung tidak tahu menahu dan ketinggalan tentang berita perginya seorang murabbi yang saya kagumi ini. Kemungkinan abang saya turut sama menghadiri majlis pengebumiannya pada pagi tersebut. Segera saya menaip-naip di internet mencari tentang berita pemergian beliau dengan darah yang agak gemuruh. Belum sempat lagi saya menghabiskan satu rangkap berita tentangnya, tiba-tiba dua mesej masuk serentak ke dalam “inbox”. Namun, kali ini lebih memilukan. Satu mesej ringkas memaklumkan seorang sahabat kami sedang koma akibat kemalangan dengan kereta. Innalillah, darah saya tambah gemuruh.

Pada petangnya saya dan teman-teman yang lain segera bertolak menuju ke Hospital Pulau Pinang selepas menunaikan solat Zuhur. Pelbagai persoalan yang berlegar di minda dan diiiringi dengan doa agar Allah memudahkan semuanya.

Tiba saja di hospital, kami semua bergegas menuju ke Wad ICU Bahagian Neurologi yang menempatkan Ukhti Zarina. Di luarnya, hanya kelihatan beberapa orang pelawat yang mungkin sedang menunggu giliran masuk untuk melihat ahli keluarga mereka. Saat itu juga belum kelihatan mana-mana ahli keluarganya. Seorang pengawal wanita memaklumkan bahawa pelawat hanya dibenarkan masuk seorang demi seorang sekiranya ingin melihat pesakit di dalam. Saya yang pertama masuk ke dalam wad untuk melihatnya. Darah saya tambah gemuruh.

Segera saya menuju ke bahagian kiri wad yang menempatkan beliau. Mata saya tercari-cari, namun masih belum kelihatan kelibat beliau. Lantas saya terus bertanyakan namanya kepada seorang jururawat bertugas yang sedang berdiri di tepi katil pesakit.

Jururawat yang beruniform biru itu segera menunjukkan seorang pesakit yang terbaring lemah di belakangnya. Fikiran saya jururawat mungkin tersilap, saya tidak mengenali pesakit yang dibelakangnya. Lantas saya mengulangi sekali lagi pertanyaan tadi.

Jururawat sekali lagi menunjukkan pesakit yang terbaring di katil itu. Allah, kali ini hati saya bertambah luluh,  saya benar-benar sudah tidak mengenali beliau. Sukar untuk digambarkan perasaan saat itu. Orang yang terbaring di hadapan saya itu sedang koma, dengan sedikit bahagian matanya tidak dapat ditutup rapat. Begitu sekali keadaannya. Dan dia mengharungi kesakitan semuanya tanpa kehadiran teman-teman di sisi. Allah

Teman-teman yang lain juga masuk menziarah selepas saya. Ada butir-butir mutiara yang mengalir pada wajah yang hadir. Ruang bahagian depan ICU tambah sesak dengan kehadiran teman-teman lain yang datang untuk mengetahui keadaan beliau.

Beliau yang saya kenali adalah seorang yang kuat. Saya yakin beliau juga sedang berusaha dan bertarung untuk menghadapi semuanya. Semoga Allah memberikannya semua kekuatan itu dan meninggikan darjatnya di sisi Tuhan. Sedangkan seseorang yang ditusuk duri pun akan diangkatkan darjatnya, apatah lagi bagi seseorang yang sedang diuji dengan sesuatu yang lebih kritikal dari itu.

“Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Selepas kembali semula ke kampus, fikiran saya kembali teringatkan berita tentang pemergian Ustaz Yahya Othman. Kelibat redup wajah beliau menjengah di minda. Memang wajah itu penuh dengan gambaran erti tarbiyah. Sama-sama kita sedekahkan al-fatihah kepadanya. Semoga rohnya termasuk di dalam golongan jiwa yang tenang, yang kembali pergi menemui Penciptanya. Sama-sama kita sedekahkan juga al-fatihah kepada teman seperjuangan saya, Ukhti Zarina dengan harapan dan doa yang tidak putus-putus. Kita tidak tahu siapakah diantara kita yang makbul doanya, semoga lebih ramai yang berdoa, maka lebih tinggi harapan untuk dimakbulkan doa itu.

Sesungguhnya beruntunglah mereka itu. Kerana mereka itu disayangi Allah…

Allahurabbi

Leave a comment