Catatan Kembara Ramadhan: Fathoni Darussalam

Selama ini kita sering mendengar berita-berita tentang penindasan terhadap saudara seIslam kita yang berada di Palestin, namun rasanya tidak ramai dalam kalangan kita yang menyedari tentang isu-isu yang melanda umat Islam di negara-negara sekitar khasnya di wilayah Nusantara. Patani merupakan salah satu wilayah di Selatan Thailand yang masih dibelenggu dengan isu pencabulan hak asasi ke minoriti Muslim di sana. Malah adalah tidak keterlaluan jika ada yang memanggil Patani sebagai ” Palestin Nusantara”.

Sebelum ini, saya adalah termasuk dalam kumpulan masyarakat di Malaysia yang memang langsung tidak mengambil tahu tentang konflik yang melanda Patani ini. Namun, segalanya berubah apabila Allah telah memilih saya untuk bersama-sama menyertai rombongan ziarah Ramadhan ke Fathoni Darussalam pada 10-12 Ogos 2012 yang lalu. Seramai 12 orang sukarelawan dan aktivis dari NGO sekitar Pulau Pinang menyertai ziarah ini yang merupakan anjuran NGO Aman Patani Malaysia (AMANI).

10 Ogos 2012 (Jumaat)

Rombongan kami telah bertolak dari Butterwoth menuju ke Patani sekitar jam 9.00 pagi dan sampai sana sekitar jam 2.00 petang (waktu di Thailand). Ketika di sana, kami diiringi oleh Sdr Sagara Sang, seorang anak muda yang merupakan aktivis salah satu NGO di sana.  Hotel CS Patani yang terletak di pusat bandar merupakan tempat penginapan kami selama 3 hari di sana. Suasana di sekitar hotel kelihatannya masih lengang berikutan kejadian letupan bom yang berlaku di hotel tersebut kira-kira hampir dua minggu yang lepas.

Pada sebelah petangnya, kami dibawa untuk melawat beberapa tempat yang menarik lagi bersejarah bagi mengenali serba sedikit tentang latar belakang  bumi Patani ini serta melihat dengan lebih dekat lagi sosio budaya masyarakat di sana.

Destinasi yang pertama adalah Masjid Kerisik yang menyimpan seribu cerita serta pernah merakam peristiwa pahit di lensa waktunya. Menurut Sdr Sagara Sang, masjid yang menjadi simbol bagi wilayah Patani ini pernah dibakar sebanyak 8 kali. Kali pertamanya dibakar oleh pihak Portugis manakala kali kedua sehingga kelapan adalah dibakar oleh pihak Siam sendiri. Serangan ke atas masjid ini pada April 2004 oleh tentera Siam merupakan suatu yang sangat memilukan kerana lebih dari 100 orang penduduk Patani telah syahid (ada yang syahid di dalam masjid dan di halaman masjid) akibat bedilan peluru pihak tentera. Dikatakan pihak tentera memberikan alasan bahawa puak gerakan pemisah berada di dalam masjid ketika itu.

Masjid Kerisik yang merakam tragedi berdarah

Seterusnya kami dibawa untuk melawat sebuah telaga lama yang dipercayai digali oleh Hang Tuah sewaktu beliau singgah di Patani suatu ketika dahulu. Telaga ini juga terletak berhampiran dengan Masjid Kerisik tadi.Kami juga berpeluang melawat kawasan bendang garam yang dikatakan berusia 200o tahun. Kawasan ini merupakan perusahaan penghasilan garam secara tradisional oleh penduduk tempatan. Sepanjang perjalanan itu juga, saya dapati tiada seorang pun kaum wanitanya yang tidak bertudung dan berpakaian menjolok mata. Kesemuanya kelihatan sopan sekali dengan jilbab yang dipakai semasa di luar rumah.

Telaga Hang Tuah

Bendang Garam

Pada sebelah malamnya, kami sama-sama menuju ke Masjid Besar Fathoni untuk menunaikan solat tarawih di sana. Jemaah yang hadir untuk solat di masjid ini ramai sekali, menggamit rasa kagum di hati.

Tarawih di Masjid Besar Patani

11 Ogos 2012 (Sabtu)

Paginya kami bangun seawal jam 3.30 pagi untuk bersahur kerana di sana waktu Subuh masuk sekitar jam 4.30 pagi. Sekitar jam 8.00 pagi kami berangkat meninggalkan hotel kerana  masih ada tempat-tempat bersejarah yang perlu kami lawati. Konvoi kami pagi tersebut agak teruji kerana salah satu kenderaan yang dinaiki kehabisan minyak menyebabkan sukarelawan muslimin terpaksa beramai-ramai menolak kenderaan ini menuju ke stesen minyak berdekatan (mujurlah stesen minyak itu berdekatan dengan hotel:)). Perjalanan yang melalui pos-pos tentera serta ratusan kamera CCTV  merupakan suatu pemandangan yang biasa di sana. Selalunya kami tidak berhadapan dengan sebarang masalah ketika melalui sekatan tentera ini kecuali pada pagi itu, kenderaan kami ditahan dengan agak lama pada salah satu pos yang kami lalui. Kemungkinan besar andaian kami adalah pihak tentera curiga apabila terlihat dua buah kamera DSLR milik sukarelawan kami. (Nota: pihak tentera amat sensitif dengan kamera kerana mereka bimbang jika ada wartawan dari luar yang cuba menggambarkan keadaan sebenar yang berlaku di sana). Namun, dengan izin Allah semuanya selesai dan kami berlalu pergi meneruskan perjalanan dengan lebih berhati-hati.

Antara tempat yang dilawati pada pagi itu adalah Makam Raja Patani yang pertama memeluk Islam iaitu Sultan Ismail Shah, Makam Raja Perempuan Patani iaitu Raja Hijau, Raja Biru dan Raja Kuning serta Kubur dua orang sheikh yang dikatakan kubur terpanjang di Asia Tenggara.  Kesemua sejarah ringkas Patani yang berkaitan dengan kisah raja-raja mereka terdahulu diceritakan oleh Sdr Sagara Sang. Pengetahuan beliau berkenaan sejarah negerinya menggamit rasa kagum kami kerana betapa prihatin dan bersungguh beliau mempelajarinya . Buat pengetahuan semua, mereka anak-anak Patani telah dinafikan hak sekian lamanya untuk mempelajari sejarah tempat mereka sendiri dengan terhapusnya silibus sejarah Patani di sekolah mereka. Kebanyakan makam bersejarah yang dilawat ini juga kelihatannya seolah terbiar, tanpa keprihatinan yang khusus dari pihak bertanggungjawab khususnya pihak pemerintah. Saya juga terkejut apabila melihat artifak yang sangat bernilai seperti serpihan pinggan lama dibiarkan begitu saja di sekitar Makam Raja Perempuan Patani sedangkan barang-barang bersejarah sebegitu sepatutnya dilindungi dan dikaji.

Makam Raja Hijau, Raja Biru dan Raja Ungu

Pada sebelah petangnya, setelah kami berehat bagi melepaskan penat, maka tibalah agenda yang ditunggu-tunggu iaitu aktiviti ziarah keluarga mangsa konflik di Patani. Sebelum menuju ke sana, kami singgah dahulu di Prince of Songkla University bagi menghadiri suatu perjumpaan dan sesi taaruf ringkas bersama sahabat-sahabat dari NGO di sana.

Konvoi ziarah kami yang pertama menuju ke sebuah rumah di pedalaman wilayah Patani. Rumah yang agak dhaif tersebut didiami oleh seorang ibu tua bersama tiga orang anak lelakinya (kesemua anaknya 7 orang tetapi ada yang telah meninggal semasa kecil dan salah seorang anaknya yg masih hidup mengalami kecacatan kekal). Kehidupan mereka itu tambah teruji apabila salah seorang anak lelakinya yang ketika itu masih menuntut di Pondok Darul Ma’arif  telah ditangkap oleh pihak tentera Siam atas tuduhan terlibat dengan kes tembakan. Menurut si ibu, tiada bukti yang dikemukan pihak tentera. Ekoran dari tangkapan itu, anaknya telah dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun! Dan kini telah masuk tahun yang kelima beliau dipenjarakan dan umur beliau sudah mencecah usia 30 tahun. Kisah keluarga ini tambah mengayat hati apabila si ayah yang sudah tua juga menghembuskan nafasnya setelah 20 hari anaknya ditangkap ekoran terkejut dengan kejadian tersebut. Kami berpeluang manatap foto anak lelakinya itu dan sungguh,  wajah itu adalah wajah yang bersih dan tenang sekali. Apabila ditanya kepada si ibu itu akan perasaannya, beliau mengatakan bahawa beliau sudah redha akan segalanya. Sebelum mengundur diri, rombongan kami menyerahkan sedikit sumbangan sempena Ramadhan dan Aidilfitri kepada keluarga mangsa.
Ziarah yang kedua membawa kami menuju ke kawasan yang lebih dalam lagi. Kali ini kami menziarahi keluarga yang mana seorang anak lelaki mereka telah ditembak sewaktu pulang dari menoreh getah. Menurut adik as-syahid, abangnya ketika itu seorang diri menaiki motor ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya yang terletak kira-kira 15 km dari tempat kejadian. Tiada saksi ketika kejadian berlaku. Latar belakang pendidikan si mangsa adalah pengajian sekolah pondok dan merupakan pendidik di sekolah rendah. Beliau meninggalkan seorang isteri dan 3 orang anak.  Daripada dua kes yang kami temui ini serta kes-kes yang terdahulu, memang dapat disimpulkan bahawa sasaran mangsa konflik kebiasaannya adalah mereka yang mendapat pendidikan pondok di sana dan merupakan golongan pendidik. Ironinya banyak lagi kes-kes yang tidak mendapat pembelaan dan terkubur begitu saja. Kajian kes-kes mangsa konflik ini telah pun dibukukan untuk disebarkan kepada masyarakat Muslim di negara sekitar.

Selesai aktiviti ziarah, maka kami pun berangkat pulang menuju ke bandar Patani untuk majlis berbuka puasa bersama-sama ratusan sahabat NGO wilayah Selatan Thai yang bertempat di bangunan Majlis Agama Islam Patani. Kami rasa terharu kerana seolahnya kehadiran kami begitu diraikan sekali oleh sahabat seperjuangan di sana. Saya sempat berkenalan dengan beberapa aktivis muslimat di sana yang masih menuntut di universiti. Mereka memang peramah, walaupun perkenalan yang singkat tetapi sudah cukup untuk membuahkan rasa eratnya ukhuwah. Jika ditanya adakah mereka takut dengan keadaan tempat mereka yang sentiasa diancam bahaya, jawapan mereka tenang sekali dan jelas bahawa mereka bersedia untuk apa-apa kemungkinan termasuk syahid!

12 Ogos 2012 (Ahad)

Paginya kami berkemas-kemas untuk berangkat pulang ke Malaysia. Sebelum berangkat pulang, ziarah kami yang terakhir adalah ke Pusat Penyelarasan TADIKA Wilayah Selatan Thai. (Jika di sana istilah Tadika itu merujuk kepada sekolah rendah). Kami berpeluang bertemu sendiri dengan tokoh pendidikan di sana yang juga menguruskan pusat penyelarasan ini iaitu Ustaz Muhaimin bin Soleh. Menurut beliau, segala usaha pengurusan dan dana bagi pendidikan sekolah rendah untuk anak-anak Muslim di Selatan Thai ini diuruskan 100% oleh mereka tanpa bantuan daripada pihak pemerintah pun. Pendidikan TADIKA ini adalah penting bagi terus mengekalkan pengetahuan tentang bahasa Melayu dan pendidikan agama Islam di sana memandangkan pada hari biasa (Isnin-Jumaat), anak-anak mereka perlu bersekolah di sekolah kebangsaan yang memang menggunakan bahasa Siam serta tiada silibus agama Islam. Jadi sekolah TADIKA ini (Sabtu dan Ahad) adalah bertujuan untuk mengimbangi kekurangan itu tadi. Jadi bolehkah anda bayangkan sekarang betapa penatnya anak-anak di sana perlu menghabiskan masa sepenuhnya dalam seminggu untuk pendidikan mereka. Itulah survival yang mereka perlu jalani atas ketidakadilan pihak pemerintah yang telah banyak menafikan hak-hak mereka dalam bidang pendidikan.

Selesai sesi ziarah di pusat TADIKA tersebut, maka kami semua pun meneruskan perjalanan berangkat pulang. Banyak perkara yang bermain di fikiran saya sewaktu dalam perjalanan pulang tersebut. Sesungguhnya ziarah ini telah menjadikan Ramadhan kali ini lebih bermakna buat saya. Seinfiti kesyukuran saya panjatkan kepada Ilahi kerana Dia telah memakbulkan doa-doa saya melalui kembara ini.  Alhamdulillah, saya kembali dengan selamat dan tiba di Pulau Pinang sekitar jam 11.00 malam semalam. Terima kasih yang tidak terhingga buat teman-teman saya yang telah mendoakan kembara saya serta mereka yang menitipkan sumbangan kepada saudara di Patani. Sesungguhnya saya rindu untuk ziarah lagi di bumi Patani.

RESOLUSI:

Daripada kembara Ramadhan ke Fathoni Darussalam ini, maka dapatlah saya simpulkan beberapa resolusi:

1) PENYEBARAN MAKLUMAT:

Usaha penyebaran maklumat tentang kes-kes yang melanda selatan Thai ini memang perlu disebarkan seluas-luasnya bagi membangkitkan kesedaran masyarakat luar terutamanya di negara kita sendiri yang merupakan jiran terhampir dengan Patani. Justeru, saya mengalu-alukan jika ada pembaca yang ingin berkongsikan catatan ringkas ini.  Pembaca juga boleh melayari blog-blog lain yang turut memuatkan perkembangan terkini yang berlaku di sana.

Antaranya:

AMAN PATANI

PATANI MERDEKA

KEMBARA KHALIFAH

Pembaca juga boleh mendapatkan buku yang berjudul “AIR MATA ISLAM PATANI” yang memuatkan fakta-fakta tentang kajian kes konflik di sana.

Pengarang : AMAN Patani
Penerbit : Mazni Irfan Publication
ISBN : 978-967-0409-01-6
Harga: RM10.00 (TIDAK TERMASUK POS)

HUBUNGI: 0194251360.
2) SALURKAN BANTUAN DAN SUMBANGAN KEPADA MANGSA KONFLIK

Bagi yang berminat untuk menyalurkan bantuan sama ada dalam bentuk duit ataupun tenaga, bolehlah berhubung terus dengan AMANI Malaysia.

Pertubuhan Kebajikan Aman Patani Malaysia (AMANI MALAYSIA)

CIMB ISLAMIK 07030000209105

3) ROADSHOW

Buat pengetahuan semua, pihak AMANI juga sudi bekerjasama dengan mana-mana institusi atau NGO lain yang ingin mengadakan roadshow berkenaan isu konflik di Patani ini. Wakil NGO dari Patani juga akan dijemput bagi menyampaikan maklumat tentang keadaan di sana. Bagi mereka yang berminat boleh lah menghubungi sendiri pihak pengurusan AMANI di alamat yang tertera di bawah.

Email : amanpattani@yahoo.com   ,    Facebook:  Aman Patani (AMANI)

Lihat juga post berkenaan roadshow: http://amanpattani.blogspot.com/2012/08/roadshow-ramadhan-amani-malaysia.html

4) PANJATKAN DOA

Akhir sekali, dalam selemah-lemah iman yang kita miliki, janganlah lupa untuk menitipkan doa buat saudara2 seakidah kita agar Allah melimpahkan mereka kesejahteraan, kesabaran dan keuntungan di dunia dan akhirat. Sesungguhnya doa itu adalah senjata orang-orang mukmin.

Sekian saja perkongsian dari catatan kembara saya. Mohon maaf jika ada khilaf di dalam maklumat yang disampaikan. Semoga Allah membalas keprihatinan pembaca yang sudi menyebarkan maklumat berkenaan isu konflik di sana.

Impian Kembara Kehidupan

Dalam hidup ini, saya sering mengimpikan untuk menjejakkan kaki ke empat bumi bertuah ini; Makkah, Madinah, Palestin dan Yaman. Keempat-empatnya adalah perancangan dalam agenda kembara spiritual saya. Makkah dan Madinah adalah tempatnya untuk melepaskan kerinduan kepada ALLAH dan Rasulullah; Palestin adalah tempatnya untuk menanamkan semangat dan cinta syahid di jalan Allah; Yaman adalah tempatnya untuk melepaskan kerinduan dan menziarahi mereka yang dicintai Allah yakni ahlulbait dan orang-orang yang soleh.

Bagi saya, kesemua tempat ini adalah tempat yang terindah di dunia ini, kerana Habib Alwi bin Muhammad al-Haddad pernah berkata:

“Seindah-indah tempat di dunia ialah tempat orang-orang yang soleh, kerana mereka bagai bintang-bintang yang bersinar di tempatnya di petala langit”

Semoga Allah menambahkan rasa kecintaan dan kerinduan kepadaNya, RasulNya serta hamba-hamba yang dicintaiNya   Dan semoga rasa itu mendorong diri ini untuk mempersiapkan diri dalam kembara bertemu dengan mereka. Mohon mendoakan saya wahai teman-teman yang dikasihi Allah. Jazakumullah khairan katsiran

Kehidupan adalah suatu kembara. Kembara menuju satu cahaya

Memori Ramadhan: Biar erat jangan dilepaskan

Dedikasi puisi ini buat seorang teman yang sudah pergi menemui Ilahi. Sekadar memenuhi permintaan beliau sendiri agar aku menciptakan puisi buatnya pada 5 Ramadhan kira-kira tiga tahun yang lepas.  Al-fatihah, semoga rohnya tenang di sana, dalam limpahan barakah Ramadhan.

Image

Dulu

Di gegarisan perjuangan

Engkau di hadapan

Membimbingku menelan pahitnya ujian

Ketika hambarnya dunia di fikiran

Kita saling menguatkan

Rahsia kita jadi ikatan

Engkau menghulurkan tangan

Dan tangan kita pantas berpautan

Biar erat jangan dilepaskan

Kini

Engkau tetap di hadapan

Menghulurkan tangan

Namun takdir memisahkan

Dimensi kita nyata berlainan

Tidak bisa sudah kita berpautan

Kelak

Akan ku capaimu di tangan

Tika saat Hari Pengadilan

Semoga kita saling berpautan

Dibangkitkan sebagai teman

Bersahabat dan berjuang kerana cinta Tuhan

Biar erat jangan dilepaskan

-Memori 5 Ramadhan 1430H-

I Remember Your Smile

Mereka yang disayangi Allah

Semalam 16 Jun 2012, sekitar jam 10 pagi saya menerima satu kiriman mesej bergambar yang dihantar oleh abang saya. Imejnya menggambarkan suasana sekitar majlis pengebumian seseorang. Saya yang kehairanan lantas bertanya siapakah orang yang telah meninggal. Namun tidak dibalas abang saya sehinggalah sekitar jam 1.15 petang, mesejnya kembali berbalas dan berbunyi

” Bekas AJK Dewan Ulama’ , Ustaz Yahya Othman.”

Innalillah, saya benar-benar terkejut ! Langsung tidak tahu menahu dan ketinggalan tentang berita perginya seorang murabbi yang saya kagumi ini. Kemungkinan abang saya turut sama menghadiri majlis pengebumiannya pada pagi tersebut. Segera saya menaip-naip di internet mencari tentang berita pemergian beliau dengan darah yang agak gemuruh. Belum sempat lagi saya menghabiskan satu rangkap berita tentangnya, tiba-tiba dua mesej masuk serentak ke dalam “inbox”. Namun, kali ini lebih memilukan. Satu mesej ringkas memaklumkan seorang sahabat kami sedang koma akibat kemalangan dengan kereta. Innalillah, darah saya tambah gemuruh.

Pada petangnya saya dan teman-teman yang lain segera bertolak menuju ke Hospital Pulau Pinang selepas menunaikan solat Zuhur. Pelbagai persoalan yang berlegar di minda dan diiiringi dengan doa agar Allah memudahkan semuanya.

Tiba saja di hospital, kami semua bergegas menuju ke Wad ICU Bahagian Neurologi yang menempatkan Ukhti Zarina. Di luarnya, hanya kelihatan beberapa orang pelawat yang mungkin sedang menunggu giliran masuk untuk melihat ahli keluarga mereka. Saat itu juga belum kelihatan mana-mana ahli keluarganya. Seorang pengawal wanita memaklumkan bahawa pelawat hanya dibenarkan masuk seorang demi seorang sekiranya ingin melihat pesakit di dalam. Saya yang pertama masuk ke dalam wad untuk melihatnya. Darah saya tambah gemuruh.

Segera saya menuju ke bahagian kiri wad yang menempatkan beliau. Mata saya tercari-cari, namun masih belum kelihatan kelibat beliau. Lantas saya terus bertanyakan namanya kepada seorang jururawat bertugas yang sedang berdiri di tepi katil pesakit.

Jururawat yang beruniform biru itu segera menunjukkan seorang pesakit yang terbaring lemah di belakangnya. Fikiran saya jururawat mungkin tersilap, saya tidak mengenali pesakit yang dibelakangnya. Lantas saya mengulangi sekali lagi pertanyaan tadi.

Jururawat sekali lagi menunjukkan pesakit yang terbaring di katil itu. Allah, kali ini hati saya bertambah luluh,  saya benar-benar sudah tidak mengenali beliau. Sukar untuk digambarkan perasaan saat itu. Orang yang terbaring di hadapan saya itu sedang koma, dengan sedikit bahagian matanya tidak dapat ditutup rapat. Begitu sekali keadaannya. Dan dia mengharungi kesakitan semuanya tanpa kehadiran teman-teman di sisi. Allah

Teman-teman yang lain juga masuk menziarah selepas saya. Ada butir-butir mutiara yang mengalir pada wajah yang hadir. Ruang bahagian depan ICU tambah sesak dengan kehadiran teman-teman lain yang datang untuk mengetahui keadaan beliau.

Beliau yang saya kenali adalah seorang yang kuat. Saya yakin beliau juga sedang berusaha dan bertarung untuk menghadapi semuanya. Semoga Allah memberikannya semua kekuatan itu dan meninggikan darjatnya di sisi Tuhan. Sedangkan seseorang yang ditusuk duri pun akan diangkatkan darjatnya, apatah lagi bagi seseorang yang sedang diuji dengan sesuatu yang lebih kritikal dari itu.

“Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Selepas kembali semula ke kampus, fikiran saya kembali teringatkan berita tentang pemergian Ustaz Yahya Othman. Kelibat redup wajah beliau menjengah di minda. Memang wajah itu penuh dengan gambaran erti tarbiyah. Sama-sama kita sedekahkan al-fatihah kepadanya. Semoga rohnya termasuk di dalam golongan jiwa yang tenang, yang kembali pergi menemui Penciptanya. Sama-sama kita sedekahkan juga al-fatihah kepada teman seperjuangan saya, Ukhti Zarina dengan harapan dan doa yang tidak putus-putus. Kita tidak tahu siapakah diantara kita yang makbul doanya, semoga lebih ramai yang berdoa, maka lebih tinggi harapan untuk dimakbulkan doa itu.

Sesungguhnya beruntunglah mereka itu. Kerana mereka itu disayangi Allah…

Allahurabbi

LORONG-LORONG ITU

Petang hari yang indah , cuacanya baik sekali. Hari ini entah apa kuasa yang datang menjengah di hati lantas menggerakkan jari jemari saya untuk menulis kembali di laman yang sudah bersawang ini, sejak ditinggalkan kira-kira setahun lebih diam menyepi.

Saya kira ini suatu tanda yang positif, walaupun saya tidak tahu apa hendak digambarkan di sini.

Satu tahun yang telah berlalu, sukar untuk diceritakan apa yang telah saya lalui , di lorong-lorong waktu.

LORONG-LORONG ITU

Lorong-lorong itu,

Di bibir jalannya punya cerita

Berencahkan suka dan duka

 

Lorong-lorong itu,

Aku tidak akan memahaminya

Melainkan harus melaluinya

 

Lorong-lorong itu,

Si penunggunya ada di situ

Sama cuma berlainan waktu

 

Lorong-lorong itu,

Terus kekal misteri berlalu,

Ianya tetap ketetapan Tuhanku

Hikmah pasti sedang menunggu

 

Maafkan saya sekiranya ada yang sedang pening-pening lalat dengan puisi yang caca merba ini, haha. Just a trial post after 1 year and 2 months losing my sense of blogging.

Sekian, wasalam

HEALING

It’s so hard to explain
What I’m feeling
But I guess it’s ok
Cause I’ll keep believing
There’s something deep inside
Something that’s calling
It’s calling you and I
It’s taking us up high

Healing, a simple act of kindness bring such meaning
A smile can change a life let’s start believing
And feeling, let’s start healing

Heal and you will be healed
Break every border
Give and you will receive
It’s nature’s order
There is a hidden force
Pulling us closer
It’s pulling you and I
It’s pulling us up high to…

Healing, a simple act of kindness brings such meaning
A smile can change a life lets start believing
And feeling, let’s start healing

Hearts in the hand of another heart and in God’s hand are all hearts
An eye takes care of another eye and from God’s eye nothing hides
Seek only to give and you’ll receive
So, heal and you will be healed

 

Lyrics co-written: Dr Walid Fataihi

Music: Sami Yusuf

 

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.